Showing posts with label PAS Terengganu. Show all posts
Showing posts with label PAS Terengganu. Show all posts

Saturday, September 20, 2008

BADAN SAJA PAS - BAJU KEADILAN


Oleh : Azizi Abdullah

Memang muakpun melihat ramai ahli-ahli Pas, terutama kalangan anak-anak muda, apabila berbadan Pas tetapi berbaju Keadilan. Sesekali semacam hendak menyindir betapa aqidah kepartian mereka sangat senang digoncang hinggut oleh pengaruh apa yang dianggap ‘reformasi’. Bagaimanapun maksud sedemikian tidak jadi apabila berpegang kepada seruan pemimpin tentang perlunya menafikan 2/3 BN. Pembangkang perlu disokong.

Termasuklah saya pun, selalu tergila-gila menyertai ceramah KeAdilan, menyumbang sesuatu tetapi kerana badan sudah tua, kerja seperti Unit Amal saya tidak lakukan.

Jika mahu mengimbau kembali Pilihanraya Permatang Pauh 26hb Ogos 2008, sebenarnya telah kelihatan ramai ahli-ahli Pas semacam sudah menjadi ahli Keadilan, malah mereka lebih Keadilan dari Pas, mabuk rasa mabuk nama. Mereka seperti Mat Rempit menaiki motosikal dengan baju KeAdilan, lambang dan bendera KeAdilan lalu singgah di markas-markas KeAdilan dan Pas. Lagak mereka, mereka telah merengkuh habis berbakti kepada KeAdilan.

Ketika berselisih dengan rakan-rakan (ketika ini sudah tidak ketahuan lagi yang mana Pas yang mana KeAdilan) sangat payah hendak membeza yang mana orang KeAdilan dan yang mana orang Pas. Mereka akan melaung dan menjerit ‘Reformasi’ dan bukan lagi ‘Allahu Akbar.’

Yang lebih mendukacitakan, ketika Pilihanraya ke 12 pada 8 Mac yang lalu, ada ahli-ahli Pas lebih menumpukan kerja buat, gerak amal, mencula undi dan tercongok di Pondok Panas KeAdilan lebih dari Pas, jika kawasannya calon Pas tetapi kawasan sempadannya calon KeAdilan.

Yang lebih malang pula apabila seorang YB KeAdilan yang cuba memperjuangkan maruah Islam atas nama sebagai individu Islam, membantah kepada kumpulan yang hendak merosakkan perjalanan undang-undang Islam, lalu Parti KeAdilannya hendak mengambil tindakan, orang-orang Pas ini juga marah-marahkan kepada calon tersebut.

Terakhir, dari mulut ke mulut mereka impikan peralihan kuasa melalui KeAdilan (PKR) dan apabila ada pemimpin Pas berceramah, mereka akan merungut dan membeber mulut jika pemimpin Pas mengupas soal Peperangan Kubra atau Nuzul Qur`an dalam kontek politik kini, kerana pemimpin Pas itu tidak mengulas dengan penuh semangat bagaimana peralihan kuasa dan kewibawaan Dato’ Seri Anwar menjadi pemimpin.

Contoh yang digambarkan di atas bukan atas niat cemburu atau sakit hati atau menidak pentingnya kejayaan PKR. Sebaliknya kerana hendak menyambung apa yang diucapkan oleh Presiden Pas, Tuan Guru Hj Hadi Awang ketika berucap di perhimpunan Nuzul Qur`an di Kompleks Pas Kota Sarang Semut pada malam 17 Ramadan yang lalu.

Memanglah Presiden Pas itu tidak membuat gambaran seperti senario di atas. Bagaimanapun kerana sikap dan gaya begitu, budaya baru ahli-ahli Pas, maka Presiden mengingatkan begitu.

Sangat penting apabila Presiden Pas mengingatkan semua ahli-ahli Pas agar tidak terlalu terbawa-bawa dengan usaha membentuk kerajaan baru hingga sanggup mengenepikan ideologi parti itu untuk menubuhkan sebuah negara Islam.

Yang lebih penting dan perlu diingat ialah bagaimana perlunya konsisten dengan dasar perjuangan, jangan lari dari jemaah.

Kemungkinan jauh di sudut hati Presiden, kebimbangannya ialah tidak mahu berlaku kepada ahli-ahlinya yang kononnya sudah mantap dengan aqidah perjuangan, jadi seperti peperangan Uhud; kerana sesuatu, meninggalkan medan perang sehingga lupa kepada pesan pemimpin.

Memang apa yang digambarkan di atas berlaku bukan saja ketika Pilihanraya Kecil Permatang Pauh pada 26 ogos yang lalu, sebaliknya berlaku di mana-mana ketika pilihanraya ke 12 yang lalu.

Begitulah seperti kata pepatah; lebih sudu dari bubur, berat rantai dari beruk yang ditunjukkan oleh sesetengah ahli Pas apabila berhadapan dengan parti PKR malah PKR sendiri selalu mendabik-dabik dada pula terhadap Pas apabila dilihat pengaruh mereka lebih kuat dari Pas, sedangkan tenaga kerja, sehinggalah menampal postar tetap bergantung kepada Pas.

Saya berpengalaman dalam soal ini ketika Pilihanraya ke 11 yang lalu, apabila menjadi Pengarah Majlis Tindakan DUN (MTD) dalam menghadapi pilihanraya dan ini berulang dalam pilihanraya ke 12 dalam kawasan di mana calon PKR bertanding.

Kita dapati semangat dan roh, dasar malah prinsip Pas benar-benar susut. Ahli-ahli Pas seperti menjadi ahli baru KeAdilan. Mereka berbangga.

Kita menyebut ini bukan bermaksud menghulur pisau untuk mencantas tali hubungan dan meretak Pakatan Rakyat. Tetapi kita mesti ingat, bagi mereka yang beragama Islam, yang belajar sedikit sebanyak asas agama, apabila memasuki parti, mereka pasti memahami dasar perjuangan, dasar partinya dan itulah pasak pegangan politiknya.

Manakala soal menyokong pakatan untuk menafikan 2/3 majoriti BN soal lain, tetapi bukan menggadaikan dasar dan aqidah politik dari sudut agama yang dipegangnya. Ini soal “ Roditu Islama Dinna!” atau "Kami redo Islam itu agama kami!” Ini bererti jika dalam soal lain, kita sokong menumbangkan BN tetapi dalam masa yang sama kita tidak rela gadaikan Islam.

Inilah soalnya dan inilah yang diperingat oleh Presiden Pas.

Tetapi malang, sebahagian besar pengikut Pas, malah sesetengah dari kalangan pemimpin Pas sendiri sudah terikut-ikut, terbawa-bawa malah sampai menjadikan Penasihat Parti Keadilan sebagai ‘anak angkat’ dan bukan mustahil sebagai ‘anak emas’ pula.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz, selaku Mursyid Am kelihatan lebih berat condongnya, lebih tebal fanatiknya terhadap Presiden Parti Keadilan walaupun tidak merestui 100% dasar perjuangan Parti PKR.

Tetapi Tuan Guru lupa, menyokong berlebihan, mengeluar kenyataan yang hebat-hebat sama dengan menyokong dasar perjuangan Anwar Ibrahim. Ini bukan soal kebenaran Dato' Seri Anwar dalam menghadapi fitnah, tetapi ini soal kebenaran dasar parti.

Kenapa membolehkan Tuan Guru Nik Abdul Aziz menegur Mustafa Ali dan menegaskan Mustafa, sama ada sebagai penganalisis politik atau Pengarah Strategi Pilihanraya adalah sama. Jika teguran ini benar, benarlah juga apabila kita memberi sokongan berlebihan kepada Anwar, bererti juga kita membenar dasar PKR.

Ini kesilapan kita. Ini tarbiah yang tidak disedari oleh Syura Pas ketika berhadapan dengan kebangkitan pengaruh Anwar, sehingga ahli-ahli Pas sudah jadi anak ayam lupa kepada ibunya lalu suka sangat kepada bapa itik.

Maka kerana itu, kita berpendapat teguran dan peringatan Presiden Pas di Kompleks Pas Kedah pada 17 Ramadan bukan saja sesuai tetapi sangat perlu dilihat oleh semua peringkat. Kita percaya Presiden sangat kuat mempercayai dan menyintai dasar Pas dan bimbang ahli-ahli Pas lupa tentang dasar sendiri.

Jika trend dan kecenderungan ini berlarutan, ditakdirkan pula PKR menerajui pemerintahan negara, saya sangat kuatir anak-anak muda malah ahli-ahli Pas sendiri yang kini sudah mulai menggilai Dato' Seri Anwar Ibrahim akan berbondong-bongdong mengangkat bungkus minta dibenarkan mengemis di serambi rumah KeAdilan.

Apakah demi kerana kita mahu menafikan majoriti 2/3 BN atau terus menumbangkan BN maka Pas sanggup menggadaikan prinsip, dasarnya? Jika jawapannya tidak, maka Pas mulai sekarang, melalui pakar strategiknya, melalui penganalisa politiknya mestilah cepat membendung pengaruh ini, terutama di kalangan anak muda. Selain dari dasar dan prinsip agama, soal unsur sekular juga mestilah diambil kira.

Contoh yang paling mudah:
Bagaimana mahu menarik anak muda supaya cenderung kepada pakaian jubah dari memakai kot? Kacaknya Anwar Ibrahim kerana tidak memakai jubah dan selekehnya bukan Anwar kerana serban dan jubah.

Kecenderungan kepada Anwar bukan kerana dasar partinya 100% tetapi kerana beberapa sebab. Di antaranya kerana simpati, ketokohan, berpidato yang tidak menjemukan. Apakah kerana pengaruh ini Pas tidak dapat mengawasi ahli-ahlinya dan jika mengawasi, dengan cara yang bagaimana?

Friday, September 19, 2008

Husam Teruk Kena Fitnah


Kasihan Husam Musa sekarang ini teruk difitnah hanya kerana mahu berpegang dengan prinsip.
Maklumat yang terbaru saya dapati adalah Husam Musa menjadi “target” utama fraksi UMNO. Semua ini adalah sebahagian dari strategi mereka untuk membawa PAS masuk BArisan Nasional.


Sekarang ini, fraksi UMNO semakin kehabisan modal. Ianya bermula selepas fitnah pertama mereka, yakni Anwar Ibrahim meliwat, terbukti satu penipuan. Tetapi, kegagalan mereka yang terbesar adalah tidak dapat meyakinkan Tok Guru Nik Aziz untuk menyokong kemasukan PAS ke Barisan Nasional.

Akibatnya, Tok Guru telah menjadi batu penghalang nombor satu apabila hampir kesemua ahli Majlis Syura Ulama berjaya diyakinkan. Untuk menyelesaikan masalah tersebut, mangsa baru diperlukan. Oleh kerana mereka tidak dapat menyerang Tok Guru secara pribadi, maka disebarkan fitnah bahawa Tok Guru sebenarnya termakan dengan “jampi” atau “kata kata” Husam Musa.

Atas sebab itulah Husam Musa diserang habis-habisan sekarang ini. Harapan dari serangan ini adalah supaya usaha mereka masih mampu mendapat simpati ramai ahli PAS dan penyokong PAS walaupun tidak dapat sokongan dari Tok Guru Nik Aziz.

Serangan Kepada Husam Musa dan weblog AntiHusam


Serangan kepada Husam Musa datang di dalam berbagai-bagai bentuk. Untuk mengetahui secara detail, silalah rujuk blog “antihusam”. Bermacam-macam fitnah boleh dibaca disitu.dan ramai lagi orang lain yang telah menjawab fitnah dalam blog ini.



Dari maklumat yang saya dapat, blog ini adalah kelolaan kumpulan PAS Terengganu yang berpusat di Kuala Lumpur, dan mereka ini dipimpin oleh seorang yang bernama Haji Suhaimi. Khabarnya beliau ini dahulunya CEO Top IT sewaktu PAS memerintah Terengganu dahulu. Dalam kumpulan beliau ini terdapat ramai “intelek” dan “korporat” PAS yang rata-ratanya adalah anak Terengganu. Mereka yang dari negeri lain tidak layak untuk menjadi ahli dalam kumpulan ini.

Mereka ini memang mempunyai hubungan rapat dengan semua pimpinan PAS Terengganu terutamanya Ustaz Harun Taib dan Mustafa Ali. Tidak hairanlah Tuan Guru Haji Hadi boleh termakan dengan fitnah dan konspirasi puak2 ini. Mereka inilah yang telah beriya2 sangat memaksa seorang ahli PAS yang bermastautin di Dubai untuk mengaku kononnya Husam Musa dan Anwar Ibrahim telah mengisytiharkan “Deklarasi Dubai”.

Khabarnya Hj Suhaimi telah menyoal siasat ahli PAS tersebut selama lebih 30 minit sewaktu Muktamar PAS di Ipoh baru-baru ini malangnya hampa. Penerangan berkenaan penipuan “Deklarasi Dubai” ini dapat dibaca di sini (“Lagi Pendedahan Penipuan Blog Anti Husam”). Hakikatnya, blog ini dimulakan dalam bulan Julai, selepas Tok Guru Nik Aziz menulis surat mengarahkan supaya memberhentikan keseluruhan aktiviti “muzakarah” yang sedang rancak dijalankan pada masa itu. Malangnya, puak fraksi UMNO telah tidak mengendahkan surat tersebut dan mereka menyalahkan Husam Musa pula. Dan hasilnya blog antihusam telah diadakan bagi menjawab surat arahan Mursyidul Am tersebut.

Tok Guru Bukan Seorang Yang Mudah Diperkotak-Katik

Antara sebab fitnah terhadap Husam ini tidak “efektif” adalah kerana ramai orang sudah mengenali sikap dan tabiat Tok Guru Nik Aziz. Tok Guru adalah seorang pemimpin sejati. Kalau saudara/ri masih ingat, sewaktu Tok Guru mengambil alih tampuk Pesuruhjaya PAS Kelantan, beliau menghadapi masalaah “ketaatan” berbelah bahagi di kalangan ahli-ahli PAS Kelantan pada masa itu.


Masih terdapat mereka2 yang masih taat dengan Dato Asri. Bukankah Tok Guru Nik Aziz yang telah memberi kata dua kepada ahli-ahli PAS pada masa itu dengan kata-kata keramat ini “Pilih dia atau saya”. Ini bererti Tok Guru tidak mudah diperkotak-katik, dipermainkan, dipengaruhi dengan sebarangan serta dianak-anak kan. Atas dasar itulah, tuduhan kononnya Husam meracun pemikiran Tok Guru adalah meleset sama sekali kerana tidak pernah berlaku Tok Guru Nik Aziz mampu diperkotak-katikan semudah itu.

Ini sifat Tok Guru Nik Aziz yang telah menjadi makluman semua ahli PAS terutamanya yang berada di Kelantan.

Blog Tinta Merah – Sayuti

Sayuti juga ada menyerang Husam tetapi serangan itu dilakukan dengan gaya yang sipi-sipi. Posting terbaru Sayuti di blog beliau bertajuk “Rehat Untuk Mengerjakan Umrah” memberitahu saya kemungkinan besar beliau adalah sebahagian dari fraksi UMNO. Hujjah saya ialah, dalam senarai harapan beliau sewaktu beliau berada di Mekah tidak ada satu pun harapan beliau merujuk kepada pertukaran kuasa di Putrajaya. Malahan beliau juga berhasrat supaya tidak lagi berlaku perletakan jawatan oleh ahli kabinet Pak Lah.


Jelas, pertukaran kerajaan kepada Pakatan Rakyat tidak menjadi prioriti kepada Sayuti/Tinta Merah. Selama ini saya dengar beliau adalah orang kuat Mustafa Ali, nampaknya benar jugalah dakwaan tersebut.

Perlu Melindungi Husam Musa

Semua ahli PAS perlu melindungi Husam Musa kerana beliau adalah pelaksana kepada harapan dan visi Tok Guru Nik Aziz. Hakikatnya, kemahuan untuk bersama dengan kerajaan Pakatan Rakyat, bukan datang dari Husam Musa, tetapi datangnya dari Tok Guru Nik Aziz sendiri.


Ketahuilah wahai ahli-ahli PAS sekelian, wawasan untuk bersama Anwar Ibrahim menjatuhkan BN ini adalah wawasan Tok Guru Nik Aziz sendiri dan bukannya Husam Musa. Husam Musa adalah perlaksana kepada wawasan Tok Guru sahaja.

Tulang Besi

Thursday, September 18, 2008

Nik Aziz vs Mustafa Ali Kira Setel!

KOTA BHARU, 18 Sept: “Selesai,” kata Pengarah Pilihan raya PAS, Datuk Mustafa Ali sebaik sahaja selesai pertemuan antara beliau dengan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pagi ini. Setelah dilihat bertembung dalam akhbar rasmi parti mereka, Harakah, Mustafa bertemu dengan Nik Abdul Aziz di kediaman rasmi Menteri Besar Kelantan, JKR 10 jam 10 pagi ini. Pertemuan itu berlangsung lebih satu jam dalam suasana yang sangat harmoni. “Ia umpama pertemuan anak dan ayah,” kata Mustafa kepada wartawan.

Kedua-dua mereka dilihat bertembung apabila Harakah menyiarkan wawancara khas dengan Mustafa berkait dengan 16 September dan usaha menubuhkan kerajaan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim. Mustafa, dalam wawancaranya, tidak pro sangat dengan projek itu. Nik Aziz tidak bersetuju dengan Mustafa lalu membuat satu kenyataan kepada Harakah selepas lidah rasmi PAS itu menyiarkan wawancara Mustafa itu. Harakah telah menyiarkan pula kenyataan Nik Aziz itu dan dijadikan berita utama muka belakang. Tidak cukup dengan kenyataan itu, Nik Aziz telah sekali lagi mengkritik Mustafa dalam ceramahnya di Markas Tarbiyah PAS di Taman Melewar beberapa hari lepas.

Sesetengah pihak mendakwa Harakah menyekat kenyataan Nik Aziz seolah-olah tidak menyiarkannya dengan menuduh Harakah mengISAkan kenyataan itu. Padahal apa yang dilakukan Harakah adalah menyiarkan kenyataan itu dengan mengambil fakta penting kenyataan itu dan dibuat dalam bentuk berita.

PAS tahu siapa nak LOMPAT!

Senarai bilangan ahli Parlimen Barisan Nasional didakwa akan menyertai Pakatan Rakyat telah dikemukakan dalam mesyuarat jawatankuasa pusat PAS Ahad lalu.

Berdasarkan senarai tersebut, kebanyakan mereka adalah dari Sabah dan Sarawak itu yang beragama Islam, demikian menurut ahli jawatankuasa PAS, Ahmad Awang.

Perkara itu juga turut disahkan oleh seorang lagi ahli jawatankuasa PAS, Hashim Jasin yang juga pesuruhjaya PAS Perlis.

Ahmad, yang juga pesuruhjaya PAS Perak, berkata agenda itu dibawa daripada perbincangan Lajnah Politik parti itu sehari sebelumnya.

Bagaimanapun, katanya, senarai ahli Parlimen yang dikatakan akan melompat parti itu, menurut Ahmad, tidak lengkap.

“Kita hanya umum nama-nama penting sahaja,” katanya kepada Malaysiakini.

Senarai itu, katanya, turut dibentangkan lebih awal dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang berlangsung sebelum itu.

Terdapat wakil MCA,MIC

Ekoran itu, tegasnya, kepimpinan PAS yang menghadiri mesyuarat jawatankuasa pusat tersebut merasa ‘selesa’ dan yakin dengan pelan 16 September.

Dalam senarai itu juga, kata Ahmad, terdapat wakil rakyat dari MCA dan MIC yang akan menyertai Pakatan.

“Sebab itu kita tengok MCA (contohnya) ada hentam penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Itu bunga-bunganya (tanda-tanda hendak keluar daripada BN),” katanya.

Ahmad menegaskan, perancangan Pakatan untuk mengambil alih kerajaan paling lama selepas perhimpunan agung Umno.

“Walaupun mereka kata kita (buat) gimik, sebenarnya mereka panik. Perletakan jawatan (bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri) Datuk Zaid Ibrahim dan pergolakan dalaman Umno menjelang pemilihan parti itu, memberi kelebihan kepada Pakatan,” katanya.

Diminta mengulas beberapa kenyataan pemimpin PAS yang menunjukkan pendirian tidak yakin dengan peralihan kuasa yang diusahakan Anwar, beliau berkata:

“Suara yang tidak percaya adalah dari satu hala, (mereka) agak konservatif. Kita terus dengan keputusan muktamar agung dan dalam masa yang sama berwaspada. Kita mahu mendokong kerajaan yang (pemimpin) Islam dominan. Islam sebagai pasak,” katanya.

Beliau juga menyifatkan teguran keras Mursyidul Am PAS, Nik Abdul Aziz Nik Mat terhadap kenyataan pengarah pilihanraya Pusat parti itu, Mustafa Ali yang berkata 16 September tidak akan berlaku, sebagai pandangan peribadi yang “berlebih-lebihan”.

Strategi politik

Manakala Hashim yang turut hadir dalam mesyuarat itu Ahad lalu mengesahkan wujudnya senarai tersebut.

Bagaimanapun, katanya, mesyuarat hanya dimaklumkan mengenai bilangannya sahaja mengikut pecahan negeri.

“(Contohnya) mesyuarat sebut Sabah berapa bilangan, Sarawak berapa bilangan, macam itulah,” katanya kelmarin telah diisytiharkan sebagai wakil rakyat Sanglang, Perlis .

Bagaimanapun, katanya, tidak ada sebarang keputusan muktamad dibuat dalam perbincangan mengenai senarai itu.

Hashim berkata, beliau tidak tahu sama ada senarai penuh diketahui oleh pemimpin-pemimpin tertentu PAS dan tidak diumumkannya atas alasan strategi politik.

“(Presiden PAS, Datuk Seri) Abdul Hadi Awang pun bukan semua dia boleh bagi tahu kita,” katanya.

Masa Untuk Menyertai PAS

Umum mengetahui bahawa negara kita kini berada dalam suasana kegawatan ekonomi yang menekan rakyat yang sebahagiannya adalah hasil dari kalutnya kepimpinan negara dalam menguruskan polisi dan pelaksanaan pembangunan ekonomi negara.Suasana ini diburukkan lagi dengan kegagalan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang diterajui oleh Umno untuk memastikan suasana kestabilan politik dan keharmonian kaum yang terus dihormat.

Umno yang satu ketika dahulu digambarkan sebagai lantang memperjuangkan nasib orang Melayu di awal penubuhannya, kini telah hilang taring dan gagal dalam memastikan maruah umat Islam dan orang Melayu terbela.

Gambaran bahawa terjejasnya keharmonian kaum ini oleh pimpinan Umno seolah-olah hubungan kaum di Malaysia kini berada pada tahap yang paling rendah juga sebenarnya adalah cubaan Umno untuk mengalih masalah yang berlaku di kalangan parti komponen BN pada ketika ini.

Sehubungan itu, Parti Islam Se Malaysia (PAS) berpendapat bahawa sudah sampai masanya bagi umat Islam dalam negara kita ini untuk berhijrah kepada PAS dan seterusnya menjadikan PAS sebagai parti tempat bernaung.

PAS adalah parti yang tidak diasaskan kepada prinsip perkauman atau asas perjuangan yang sempit, tetapi dibina di atas dasar memperjuangkan Islam dan keadilan yang lebih universal sifatnya, maka PAS percaya bahawa orang-orang Islam di Malaysia secara umumnya dan ahli-ahli Umno beserta pimpinannya secara khusus memerlukan satu wadah baru yang lebih konsisten dan mampu menjadi penyelamat yang akan memartabatkan maruah ummah.

Sebagaimana yang dipertegaskan oleh PAS dalam Muktamar PAS ke-54 yang lalu dengan tema "PAS UNTUK SEMUA", bahawa sebenarnya perjuangan PAS tetap kekal utuh dan bertahan sehingga ke hari ini kerana mempunyai tujuan penubuhannya yang berteraskan kepada akidah perjuangan yang jelas.

PAS bukannya sebuah parti politik semata-mata, tetapi adalah satu wadah dakwah dan tarbiyah. Perjuangan PAS adalah bersifat universal, untuk seluruh umat manusia, membawa keadilan sejagat, sebagaimana yang termaktub dalam Bab Ketiga, Fasal 6, Perkara (8), (9) dan (10), Perlembagaan PAS di mana usaha-usaha PAS ialah:

� Memperjuangkan wujudnya kebudayaan negara berasaskan nilai-nilai yang tidak bercanggah dengan ajaran-ajaran Islam,

� Memperjuangkan hak dan kepentingan umat Islam di negara ini tanpa mengabaikan tanggungjawab melaksanakan keadilan terhadap seluruh rakyat Malaysia dan tanggungjawab mewujudkan keharmonian antara kaum di dalam negara ini,

� Menyertai dan bekerjasama dengan Bangsa-Bangsa Bersatu dan badan-badan lain yang sah bagi mengekalkan keamanan dan menjamin hak-hak asasi manusia serta manghapuskan segala macam kezaliman, kepalsuan, perhambaan dan penindasan di kalangan umat manusia.

Bertitik tolak dari hakikat ini, maka PAS sudah lama bersedia untuk mengisi kekosongan politik yang ditinggalkan oleh Umno ini. PAS percaya bahawa ahli-ahli dan pimpinan Umno ini boleh memberi sumbangan tenaga mereka menerusi PAS.

Marilah bersama-sama kita bina wadah PAS ini supaya menjadi lebih kuat dan mampu berdepan dengan pelbagai cabaran yang mendatang.

Marilah bersama-sama menyertai PAS!

16 September 2008/ 16 Ramadhan 1429
DATO' SERI TUAN GURU HJ ABD. HADI AWANG
Presiden, Parti Islam Se Malaysia (PAS)

Tuesday, September 16, 2008

Tindakan Mustafa Wajar...

Oleh : Attakiri

Penulis cukup berterima kasih di atas tindakan Songkok Putih dalam menjawab secara sederhana bagi meredakan pertelingkahan antara pengikut TGNA dan Mustafa Ali. Penulis bukan berniat untuk mencampuri urusan kedua-duanya. Tetapi izinkan penulis untuk memberi sedikit pandangan terhadap kenyataan Mustafa. Bukan berniat untuk menyokong tapi sekadar memberi pandangan rasional mengikut perspektif penulis. Bagi penulis kenyataan Dato’ Mustafa Ali satu kenyataan yang wajar. Bukan beliau bahkan Naib Presiden PAS Tn. Hj. Mohammad bin Sabu pun mengeluarkan kenyataan yang seakan-akan mempunyai pandangan yang sama. Cuba lihat kenyataan yang dikeluarkan itu adalah sebelum berlakunya mesyuarat Majlis Pakatan Rakyat.

Mungkin kenyataan ini jugaklah yang membawa kepada DSAI memanggil pimpinan PR untuk bermesyuarat bagi membincangkan isu 16 september ini. Dalam hal ini, penulis cukup terkilan dengan DSAI yang sentiasa membuat kenyataan seolah-olah mewakili PR tetapi perbincangan langsung antara Majlis tidak dibuat. Contohnya pengisytiharan 16 September sebagai tarikh kerajaan ditumbang. Hampir kesemua pimpinan PAS dan DAP tidak dimaklumkan siapa terbabit dan macam mana bentuknya. Sebab itu, penulis cukup bersetuju dengan pandangan Mat Sabu yang menyebut kerajaan 16 september ini adalah kerajaan Anwar, bukan kerajaan PR. Selepas kenyataan Dato’ Mustafa Ali, barulah kedengaran DSAI memanggil Pimpinan PR untuk bermesyuarat. Tiba-tiba timbul isu teguran TGNA terhadap kelakuan terbuka Mustafa.

Penulis bukan berniat untuk membangkang sangat. Tetapi alangkah eloknya TGNA mendengar dahulu penjelasan Mustafa dalam bab ini. Jangan kerana 16 september pimpinan PAS terlibat sama bertelingkah sesama ahli sendiri. Walhal 16 september belum tentu tercapai atau tidak. Kukuhkan ukhuwwah antara pimpinan. Dalam muktamar ini, perwakilan sudah acap kali menegur kepada pimpinan supaya tidak menggunakan blog sebagai tempat untuk menghentam pimpinan yang lain. Nampaknya semua berdegil dan masih terus mengeluarkan pandangan peribadi yang kadang kala bercanggah antara satu sama lain. Kalaulah pimpinan pun tidak menghormati keputusan muktamar. Tidak mustahil perwakilan pun akan hilang hormat terhadap pimpinan terbabit. Kita bergerak atas dasar Gerakan Islam yang menggunakan pilihanraya sebagai wadah. Jangan jadikan Politik melebihi dakwah. Jangan pentingkan kuasa sehingga organisasi menjadi porak peranda. Perkukuhkan negeri PAKATAN RAKYAT dahulu.

Pertukaran kuasa belum tentu bila…. Mungkin 16 september tahun atau mungkin 16 september tahun 2013….Waallahua’lam

Monday, September 15, 2008

Sah! PAS Terengganu Silap Pilih Pesuruhjaya

Ini apa ini? Utusan Melayu? Berita Harian? Ini Harakah dudes! Lidah Rasmi PAS. Patutlah Tuan Guru Nik Aziz amat bimbang dengan perkembangan semasa, Encik Pa kita telah buat onar. Sah! dia ini proksi UMNO dalam PAS. No wonder-lah Harakah boleh kuar 2x seminggu, ada habuan rupanya. Tak cukup dengan Malaysia-Today, kini Kenyataan TGNA pula nak disekat. Ini boleh menimbulkan kemarahan.



Tidak dapat dibayangkan macam mana dalam Pakatan Rakyat sendiri, PAS secara khususnya, boleh diperkotak-katikkan oleh tipu helah JAHAT UMNO.

Bagaimana pula kata Ustaz Nasha? Adakah dia menyokong atau sebaliknya? Haji Hadi pula, apakah pendirian beliau? Apa-apapun aku amat pasti, rakyat Malaysia akan berdiri teguh dibelakang TGNA.

Adakah ini sebenarnya menyebabkan 16 September ditangguhkan?

Berikut kenyataan TGNA, untuk full version, sila baca artikel terdahulu :
9. Dalam keadaan beginilah hati saya cepat-cepat teringat tentang HARAKAH. Saya tak dapat bayangkan bagaimana HARAKAH boleh memainkan peranan sebagai lidah rasmi parti dan organ parti, apabila orang nombor satu yang merupakan Pesuruhjaya PAS Terengganu ini telah mengambil sikap membelakangi keputusan Muktamar. Saya percaya, ini sedikit sebanyak akan mempengaruhi pojok, cerita, berita dan analisis yang dibuat. Dengan dibenarkan penerbitan dua kali seminggu maka lebih cepat lagilah ia boleh merosakkan imej HARAKAH. Pada logiknya, pembaca HARAKAH akan berkurangan. Saya fikir suatu keputusan perlu dibuat mengenai perkara ini.
Berikut adalah laporan dari Boneka, Penyu dan SPR

Fraksi UMNO dalam PAS telah mengkhianati Tuan Guru Dato’ Nik Aziz, Mursyidul Am PAS. Belum lagi rasmi isi borang keahlian UMNO kawanan ini sudah ikut perangai UMNO. Begitulah deskripsi terbaik yang boleh saya buat tentang ‘Fraksi UMNO Dalam PAS’ atau dipanggil ‘Kumpulan UMNOPAS’ yakni kumpulan duri dalam daging PAS yang dikepalai Mustafa Ali, Pesuruhjaya PAS Terengganu. Sebenarnya, TG Nik Aziz telah pun membuat satu kenyataan media membidas kenyataan Mustafa Ali yang berniat mematahkan semangat rakyat yang ingin melihat perubahan kerajaan pada September 16.

Tetapi kerana Mustafa Ali juga adalah pengerusi lembaga pengarah Harakah, akhbar lidah rasmi PAS, maka kenyataan TG Nik Aziz itu telah di’gelapkan’. Malah lebih teruk dari itu, fraksi UMNO dalam PAS juga telah ‘mengugut’ kakitangan Harakah yang menyiarkan kenyataan itu dalam blog mereka. Tu dia pembaca budiman. Kita rakyat yang pro-pembangkang marahkan UMNO bila laman web pro-pembangkang dipintas. Kita marahkan UMNO kerana menyekat siaran berita mengenai pembangkang melalui akhbar arus perdana serta setesyen televisyen dan radio milek negara. Kita sakit hati bila berita tentang pembangkang atau pemimpinnya diputar belitkan. Dan langsung tidak terlintas pada imajinasi terliar kita yang politikus pembangkang, khususnya dari PAS, pun boleh bersifat persis UMNO bila merasakan kepentingan mereka diancam kebenaran. ‘Kecewa’ atau ‘marah’ adalah perkataan paling lemah untuk membayangkan perasaan hati kita.
Yeah! Masuk UMNO-lah Natang!


Other links :

Sunday, September 14, 2008

Politik Suku-Sakat?

Oleh : Wan Nordin Wan Yaacob

Assalamualaikum kepada pembaca semua, maaf inilah kali pertama saya memohon maaf kepada pembaca kerana saya terpaksa menarik kembali artikel berhubung kenyataan Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat bertajuk "Rakyat Terengganu salah Pilih Pesuruhjaya' dan 'Mursyidul Am Tegur Mustafa Ali' yang menyaksikan saya dengan berat hati terpaksa juga berbuat demikian.

Jam 3 petang tadi, saya dihubungi oleh Ahmad Lutfi Othman yang meminta saya menarik kembali artikel tersebut selepas semalam saya memasukkannya.

Beberapa alasan telah diberi, namun saya pasti sebenarnya beliau tersepit. Kemudian Dato' Kamarudin Jaffar pula menghubungi saya meminta saya mempertahankan artikel tersebut, malangnya oleh kerana kebimbangan saya di atas beberap sebab, saya dengan itu menarik kembali artikel tersebut dengan rasa berat hati dan merasai kebebasan bersuara telah disekat.

Merasai hakikat itu juga, rakan setugas saya Intan Abdullah turut menerima tamparan apabila seorang pemimpin menghubunginya dan meminta isu itu jangan dihebahkan, malah kenyataan Tok Guru itu katanya melampau.

Seperti kata Dato' Kamarudin Jaffar kepada saya, seseorang itu perlu bersedia dikritik apabila mengeluarkan kenyataan yang pedas, justeru dalam hal ini saya lihat ada pihak yang tidak berani menerima hakikat apabila dihentam balas oleh Tok Guru.

Saya hanya penulis picisan yang terhimpit dengan idealogi politik suku-sakat, dan inilah yang dikatakan 'politiksukusakat', akhirnya saya juga yang terkena penahan mereka.

Namun, secara peribadi saya masih mempercayai dan menyokong penuh Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai seorang pemimpin ulung yang sangat sederhana..

Takbirrrrrrrr...
Salam manis buat Tok Guru dan pembaca-pembaca sekalian...

Kenyataan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat

Oleh : Kecek-Kecek Tok Mudin

1. Saya telah membaca dengan teliti pandangan Pesuruhjaya PAS Terengganu yang kali ini lebih gemar menggunakan nama beliau sebagai pengamal dan penganalisis politik daripada bertindak sebagai seorang Pesuruhjaya PAS Negeri. Walaupun sewaktu beliau berdiri sebagai penganalisis politik dalam mana-mana waktu sekalipun, pada saya, beliau tetaplah Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu. Baik dalam keadaan berdiri, duduk, atau berbaring, Mustafa bin Ali adalah seorang Pesuruhjaya PAS.

2. Dengan demikian, mahu tidak mahu pandangan beliau itu tetap mencerminkan pandangan PAS Terengganu. Lebih mendukacitakan lagi ialah apabila pandangan beliau ini bersifat anti keputusan Muktamar. Sekaligus, ia menentang arus Syura yang memutuskan untuk mengukuhkan Pakatan Rakyat dan tidak sebaliknya seperti yang sedang dilakukan oleh Mustafa Ali. Dalam respons dan setiap ayat yang digunakan, saya tidak nampak sikap Mustafa yang boleh mengukuhkan Pakatan Rakyat seperti yang diputuskan oleh Muktamar secara “standing ovation”.

3. Sepatutnya tugas pemimpin termasuk Pesuruhjaya ialah mendukung dan mengukuhkan keputusan Muktamar. Sifat rajin mengeluarkan kenyataan walaupun tidak disuruh adalah sesuatu yang aneh dan menghairankan. Lebih-lebih lagilah ia mencanggahi keputusan Muktamar. Sepatutnya ceramah atau temuramah bersifat lanjutan kepada keputusan Muktamar.

4. Saya membuat perbandingan antara kenyataan Mustafa di muka surat 1 dan 3 Utusan Malaysia, 11 September 2008 dengan kenyataan Dato’ Johari Baharom, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri sendiri termasuk kenyataan PM sendiri dalam Berita Harian pada hari yang sama. Mesejnya sama iaitu tidak ada apa yang akan berlaku pada 16 September 2008 iaitu “tidak mungkin ada undi tidak percaya kerana Parlimen tidak bersidang.” Sentimen Mustafa yang “terus terang tidak yakin adanya bilangan sebanyak 30 orang yang akan melompat parti” betul-betul serupa dengan nada Presiden Umno. Betul-betul serupa.

5. Lidah Mustafa boleh dikatakan sudah menjadi lidah Umno. Kita kena faham bahawa lidah ini adalah jurubahasa kepada hati. Jika begitu keadaannya apa yang ada dalam hati, maka lebih baik terang-terang sokong Umno. Hujah untuk “meredakan keresahan rakyat” yang digunakan oleh Mustafa tidak tepat. Apa yang tepat ialah kita kena tanya rakyat resah kerana apa? Jawabnya, rakyat resah kerana pimpinan di bawah Umno selama ini telah menimbulkan seribu satu macam keresahan. Usaha Pakatan Rakyat yang sama-sama sedang didukung oleh PAS, PKR dan DAP ini adalah usaha untuk memulihkan keresahan rakyat. Pemulihan dan keyakinan akan berlaku apabila Pakatan Rakyat menguasai di peringkat Pusat. “Cross over” kepada Pakatan Rakyat yang menuju ke arah peralihan kuasa sama ada 16, 17, 18, 19 atau 20 September 2008 hendaklah menjadi agenda setiap orang : agenda setiap Pesuruhjaya PAS Negeri termasuklah Mustafa bin Ali. Inilah semangat Muktamar yang telah kita sama-sama putuskan secara sebulat suara. “Standing ovation” itu adalah sebulat suaralah tu. Keputusan Muktamar ini, bukan kerja main-main.

6. Apa tujuan kita adakan kursus, seminar, ceramah, tamrin, usrah, doa, sembahyang hajat, munajat, pagi, petang, siang dan malam kalau tidak kerana untuk menumbangkan sebuah pemerintahan yang tidak cenderung kepada Islam. Jika Umno hendakkan Islam, sudah lama dia laksanakan Islam.

7. Saya tidak fahamlah bila Mustafa menyebut bahawa dia bercakap secara bebas dan pendirian beliau bertaraf peribadi; bukan atas kapasiti seorang pemimpin PAS. Pada saya, beliau adalah Pesuruhjaya PAS Terengganu. Dalam Islam, seseorang itu hanya boleh mempunyai satu sahsiah saja. Sesiapa yang cuba bermain-main dengan dua atau lebih rupa sahsiah, tidak layak menjadi pemimpin gerakan Islam. Sebab itu, Islam selalu menekankan soal tauhid, yakni penyatuan segala perkara di atas satu dan menuju kepada satu. Dalam PAS, tidak ada dua wajah sahsiah. Jika ada juga, maka ia sesuai untuk mewakili Umno.

8. Jika Dr. Mahathir pernah berkata bahawa ia tersalah pilih Perdana Menteri maka dalam konteks ini boleh jadilah Terengganu sudah tersalah pilih seorang Pesuruhjaya. Dalam akhir ayat Mustafa Ali, ada juga saya terbaca beliau menyifatkan isu ini timbul disebabkan keghairahan satu pihak untuk mengambil alih kerajaan. Di sini, saya cukup tidak fahamlah. Seolah-olah pada Mustafa, adalah satu kesalahan apabila kita ghairah nak gantikan kerajaan secara demokrasi. Sejak bila pula Mustafa jadi begini? Kita kena faham bahawa isu menghuruharakan ini timbul kerana sejak 50 tahun Umno memimpin negara, rakyat tidak dipimpin dengan jelas dan betul dari segi Islam atau demokrasi. Keadilan tidak diberi kepada orang-orang Melayu, Cina, India, Siam atau Kadazan. Ini yang kita ghairah untuk menggantikan kerajaan. Kita bawa Islam kerana Islam itu adil. Islam itu untuk keamanan dan kesejahteraan seluruh kaum yang bermastautin di Malaysia. Apabila nampak bahawa Kerajaan BN/Umno sudah panik dan resah sehingga terpaksa melarikan 50 Wakil Rakyat, maka pada saya, ini adalah petanda kejayaan. Tak tahu lah pula saya kenapa Mustafa Ali terpaksa bersusah payah untuk menjelaskan situasi sebenar demi meredakan. Meredakan hati siapa? Hati pemimpin Umno?

9. Dalam keadaan beginilah hati saya cepat-cepat teringat tentang HARAKAH. Saya tak dapat bayangkan bagaimana HARAKAH boleh memainkan peranan sebagai lidah rasmi parti dan organ parti, apabila orang nombor satu yang merupakan Pesuruhjaya PAS Terengganu ini telah mengambil sikap membelakangi keputusan Muktamar. Saya percaya, ini sedikit sebanyak akan mempengaruhi pojok, cerita, berita dan analisis yang dibuat. Dengan dibenarkan penerbitan dua kali seminggu maka lebih cepat lagilah ia boleh merosakkan imej HARAKAH. Pada logiknya, pembaca HARAKAH akan berkurangan. Saya fikir suatu keputusan perlu dibuat mengenai perkara ini.

10. Saya sebenarnya masih mahu mengambil sikap bertangguh dari terlalu cepat mengemukakan respons. Dengan begitu, saya akan cuba ikuti lagi apa rentak yang akan dibawa oleh pemimpin seperti Mustafa Ali. Saya percaya, mungkin ada satu atau dua orang lagi yang bersama dengan beliau. Selaku orang tua dalam parti, saya telah mengikuti orang penting dan orang yang tidak penting keluar masuk ke dalam parti. Bahkan Allahyarham Dato’ Haji Asri Muda sekalipun pernah meninggalkan Parti PAS. Pada waktu itu beliau adalah di kerusi Presiden. Beliau akhirnya masuk Umno dan semua orang tahu bagaimana beliau mengakhiri karier politiknya.


NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
Bertarikh : 11 Ramadhan 1429
11 September 2008.

Cyber War : Kabilah Haji Hadi ditentang Hebat

Tinggal 2 hari sahaja lagi, D-Day!

Sekarang riuh isu PAS Terengganu. Dimana-mana ada je artikel tentang PAS Terengganu. Ada yang menentang, ada yang menyokong. Yang paling perit terpalit, Kabilah Hadi Hadi. Selaku Presiden PAS, Tok Guru dan Ulama, Haji Hadi tetap disanjung walaupun ramai menentang idealism politiknya mutakhir ini. Mungkin dia diberi ilham olehNYA supaya (secara tidak langsung) menentang arus 916. Mungkin juga dia mempunyai strategi tersendiri untuk menubuhkan kerajaan yang bertulang-belakangkan PAS, bukannya PKR yang secara terangan tidak menerima Kerajaan Islam. Yang pasti, kenapa umat islam sendiri melatah, tidak sabar menunggu detik 916 sehinggakan Kabilah Haji Hadi ditentang sehebat-hebatnya!

Tapi suasana berubah apabila pimpinan besar PAS sendiri melaungkan penentangan terhadap Kabilah Haji Hadi ini. Ah! mungkin benar ada perpecahan di dalam PAS. Secara terang-terangan serangan di buat terhadap PAS Terengganu. Apakah yang ditawarkan kepada mereka? Apa yang Ustaz Nasha bincang di dalam perjumpaan UMNO-PAS? Adakah PAS benar-benar akan berpecah? Apa reaksi TGNA yang secara terang-terangan menyokong Anwar dan PR?

Politik tidak seindah dan sesenang yang seperti yang digambarkan

Mungkin ini adalah salah satu pembersihan di dalam perjuangan, membuang duri dalam daging!